CONTOH ASPEK KAJIAN WACANA
1.0
PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Menurut Smith (1969), penulisan
merupakan satu proses penghasilan wacana bertulis dengan ketepatan dan
formaliti yang berbeza-beza berdasarkan tujuan dan keperluan penulisan. Barnow
(1989) pula berpendapat bahawa penulisan merupakan satu cara untuk melahirkan
bahasa manusia melalui simbol-simbol yang dapat dilihat. Secara umumnya pula,
penulisan merupakan satu proses yang melibatkan pembentangan idea-idea serta
penyusunan yang dilakukan oleh penulis berkaitan dengan sesuatu isu untuk
dipersembahkan kepada pembaca.
Setiap idea yang telah diutarakan oleh
penulis hendaklah jelas maksudnya menerusi penggunaan bahasa yang tepat dan
teknik penulisan yang sesuai seterusnya mampu menyalurkan idea kepada pembaca.
Di Malaysia , penulisan merupakan satu aspek yang diberi penekanan dalam
kurikulum sekolah, terutamanya bagi tujuan menduduki peperiksaan umum seperti
Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), dan
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pengajaran penulisan naratif di sekolah adalah bertujuan
untuk meningkatkan kemahiran menulis serta mengasuh pelajar tentang amalan
kebudayaan, norma serta nilai-nilai yang dihargai dalam budaya dan bahasa.
Tujuan penulisan adalah untuk
menghasilkan penulisan kreatif dan bukan kreatif yang menggunakan bahasa yang
gramatis dan laras yang tepat serta memperlihatkan pertautan idea dan wacana
yang kemas dengan pemikiran yang kritis dan analitis. Penulisan juga
mengukuhkan kemahiran berfikir pada peringkat yang tinggi seperti menganalisis,
mengaplikasi dan menilai maklumat. Disamping itu, penulisan juga merupakan satu
kaedah untuk pelajar berkomunikasi, mengorganisasikan fikiran dan maklumat,
menyampaikan idea dan perasaan serta memperlihatkan kefahaman tentang sesuatu
mata pelajaran.
1.2 DEFINISI TATABAHASA WACANA DALAM
KEMAHIRAN PENULISAN
Melalui sumber yang diperolehi daripada
Kementerian Pelajaran Malaysia 2003, tatabahasa merujuk kepada aspek morfologi
dan sintaksis bahasa Melayu. Morfologi merupakan bidang ilmu bahasa yang
mengkaji struktur, bentuk kata, dan penggolongan kata. Sintaksis pula merupakan
bidang ilmu bahasa yang mengkaji bentuk, struktur, dan binaan ayat. Menurut
Harimuthi (1982) dalam Sharifah (2007), wacana ialah unit bahasa yang melebihi
batas ayat.
Wacana merupakan satuan bahasa yang
lengkap kerana sesuatu wacana mungkin terdiri daripada dua atau beberapa
gabungan ayat, satu perenggan, satu bab, sebuah buku atau satu siri buku.
Selain itu, wacana turut menunjukkan perkembangan fikiran yang berurutan dan
disusun secara sempurna seterusnya menghasilkan satu pemikiran yang utuh.
Wacana terletak dalam hieraki tertinggi iaitu selepas tingkat ayat, klausa,
frasa dan kata. Wacana direalisasikan dalam bentuk karangan yang utuh seperti
novel, perenggan, kalimat atau ayat yang membawa amanat yang lengkap.
Stubbs dalam Taringan (1993) turut
mengemukakan definisi yang hampir sama iaitu, wacana merupakan organisasi
bahasa yang berada di atas klausa. Dengan perkataan lain, apabila terdapat
unit-unit linguistik lebih besar daripada klausa, maka ianya akan disebut
sebagai wacana. Moeliono (1995) dalam Adenan (2013) pula mendefinisikan wacana
sebagai rentetan kalimat yang berkaitan sehingga terbentuk makna yang serasi
antara kalimat tersebut. Wacana mewujudkan komunikasi verbal iaitu dalam bentuk
lisan dan bukan lisan. Wacana lisan merupakan komunikasi lisan yang melibatkan
pembaca dan pendengar. Manakala bagi wacana bukan lisan pula adalah dalam
bentuk penulisan yang melibatkan penulis dan pembaca. (Surdayat, 2009)
1.3 KONSEP TATABAHASA WACANA DALAM
KEMAHIRAN PENULISAN SEKOLAH RENDAH
Konsep pengajaran tatabahasa wacana
dalam penulisan karangan bagi pelajar sekolah rendah merangkumi perbendaharaan
kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca dan ejaan (Kamarudin,
2002). Melalui pengajaran tatabahasa dalam penulisan murid akan dapat menulis
perkataan dan melahirkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan
dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui. Penekanan
perlu diberikan pada penggunaan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang
betul, serta tulisan yang jelas dan kemas.
Pengajaran tatabahasa di sekolah
membolehkan pelajar berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik (Azizi Abd
Talib, 2000). Mengulas daripada pendapat yang telah dikemukan oleh beliau,
dapat dinyatakan bahawa pengajaran tatabahasa wacana penting bagi membantu
pelajar agar dapat menggunakan sistem bahasa yang sesuai, menghasilkan ayat
yang gramatis dan berkomunikasi dengan berkesan. Dalam sukatan Pelajaran Bahasa
Melayu KBSM (2001), aspek tatabahasa sangat ditekankan dan dijadikan dasar
kecekapan berbahasa dan diajar secara terancang dalam konteks bagi menghasilkan
ketepatan berbahasa. Ini bagi membolehkan murid-murid mengikuti pengajaran
tatabahasa secara berkesan dan memudahkan pemahaman mereka.
Pengajaran tatabahasa juga hendaklah
diajar dengan tidak memisahkan aspek-aspek tatabahasa yang hendak diajar dengan
kemahiran bahasa yang lain. Pengajaran tatabahasa yang terancang juga dapat
membantu murid-murid memahami unsur-unsur tatabahasa, fungsinya dan makna
tatabahasa. Oleh itu, Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM (2001) mencadangkan
bahawa tatabahasa hendaklah digabungkan dengan kemahiran-kemahiran berbahasa
iaitu mendengar, bertutur, membaca dan menulis.Tujuan utama penggabungan ini
adalah untuk memastikan pengajaran tatabahasa sahaja. Hal ini demikian kerana,
dengan strategi ini murid akan belajar dan menguasai tatabahasa sambil
melakukan aktiviti-aktiviti yang bermakna dalam kemahiran yang ditetapkn.
(Awang Sariyan, 2004).
2.0
STRATEGI PENGAJARAN WACANA PENULISAN KARANGAN PERINGKAT SEKOLAH RENDAH
Marohaini Yusoff (1989) mendapati
bahawa fenomena pengajaran dan pembelajaran di sekolah lebih tertumpu kepada
penghasilan isi atau fakta dalam kegiatan menulis atau mengarang. Aspek
penggunaan bahasa yang baik dan teknik-teknik mengarang yang berkesan kurang
dititikberatkan. Murid hanya diberi penekanan terhadap berfikir untuk
mendapatkan isi.
Fenomena ini menyebabkan murid kurang
berkemahiran dalam berfikir untuk menghasilkan atau memikirkan cara yang
berkesan menyampaikan sesuatu mesej atau idea dengan menggunakan wacana
tatabahasa yang tepat dalam penulisan karangan. Isahak Haron (1979) dalam
Hasyim Othman (2000) pula mengatakan bahawa karangan bukanlah sekadar hasil
kepandaian atau kemahiran mengubah atau menyusun kata-kata, frasa, dan ayat,
tetapi merupakan kemahiran penyampaian idea, fakta dan sebagainya secara lisan
atau bukan lisan dengan menggunakan alat komunikasi iaitu bahasa.
Hal ini selaras dengan Kurikulum bahasa
Melayu, iaitu menyediakan murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi
dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat. Murid mampu
mengungkapkan segala ilmu daripada pelbagai bidang disiplin atau mata pelajaran
lain disamping mengembangkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (Sukatan
Pelajaran Bahasa Melayu KBSM, 2000). Oleh itu, dalam usaha untuk
mempertingkatkan kemahiran menulis dalam kalangan pelajar, aspek tatabahasa
harus diberi penekanan. Strategi pengajaran penulisan yang berkesan akan
memberikan kesan kepada keupayaan murid dalam menghasilkan penulisan yang baik
dan gramatis. Dalam usaha untuk mempertingkatkan kemahiran penulisan murid,
Kamarudin Husin (1988) telah mengemukakan tiga peringkat strategi penulisan
iaitu sebelum, semasa dan selepas penulisan.
2.1 PERINGKAT SEBELUM PENULISAN
Dalam peringkat sebelum penulisan,
murid perlu memahami dengan jelas kehendak soalan dan format penulisan seperti
yang dikehendaki. Setelah memahami kehendak soalan, kata kunci perlu digariskan
untuk memudahkan murid menghasilkan idea. Seterusnya, membuat rangka penulisan
yang merangkumi pendahuluan, isi, dan penutup. Pelbagai cara yang berkesan
boleh diaplikasikan dalam mencatat isi, antaranya ialah menggunakan
pernomboran, peta konsep minda dan lain-lain lagi.
2.2 PERINGKAT SEMASA PENULISAN
Pada peringkat ini, penulisan perlu
dilakukan berdasarkan isi atau kerangka penulisan seperti yang telah dirangka.
Pendahuluan hanya ditulis secara ringkas tetapi merangkumi ayat tesis, ayat
topik, ayat sokongan dan kesimpulan agar pembaca lebih mudah untuk memahami apa
yang telah ditulis. Setiap isi dalam penulisan perlu dinyatakan dan diikuti
dengan penjelasan atau keterangan lanjut yang disertakan dengan contoh. Penutup
dalam penulisan juga dibuat secara ringkas iaitu membuat rumusan secara keseluruhan
penulisan. Penulisan juga perlu diikuti dengan sistem ejaan, tanda baca,
tatabahasa, kosa kata, dan wacana yang digunakan dengan betul dan sesuai.
2.3 PERINGKAT SELEPAS PENULISAN
Setelah menyiapkan karangan, murid
perlu membaca semula hasil penulisan untuk menyemak format, isi atau huraian,
imbuhan, struktur ayat, ejaan, tanda baca, dan perbendaharaan kata. Apabila
kesalahan yang dikenalpasti dalam penulisan tersebut, pembetulan perlu
dilakukan atau membuat penambahan terhadap kekurangan yang terdapat dalam
penulisan yang dihasilkan.
3.0
CIRI-CIRI DAN KEPENTINGAN MENGAPLIKASIKAN WACANA DALAM PENULISAN KARANGAN
3.1 CIRI-CIRI WACANA
Ciri-ciri bagi wacana ialah berstruktur
iaitu merangkumi pendahuluan, isi, dan penutup. Dalam pendahuluan, penulis
membayangkan perkara yang ingin dibincangkan selanjutnya. Hujah, ulasan, dan
pendapat tentang isu yang disertakan dengan contoh pula ditulis dalam isi.
Dalam penutup pula, kesimpulan secara menyeluruh dilakukan terhadap penulisan
yang dibuat. Selain itu, setiap wacana yang dihasilkan dalam penulisan juga
mempunyai tujuan kerana dengannya kita dapat menentukan jenis wacana yang ingin
digunakan. Wacana digunakan dalam penulisan berformat dan penulisan tidak
berformat. Wacana dalam penulisan berformat meliputi surat kiriman tidak rasmi,
surat kiriman rasmi, dialog, syarahan, ucapan, perbahasan, laporan, berita dan
catatan harian. Wacana dalam penulisan tidak berformat pula tidak mempunyai
format yang khusus dan kebiasaannya, penulisan jenis ini menghendaki penulis membincangkan
sesuatu topik yang diberi berdasarkan pengalaman. (Adenan dan Mohd Rain, 2013).
Menurut Beaugrand dan Dressler (1981)
yang dipetik dari surat khabar Berita Harian pada tahun 2008 menyatakan bahawa
terdapat tujuh ciri wacana yang perlu dipenuhi untuk menghasilkan wacana, iaitu
tautan, runtutan, tujuan, penerimaan maklumat, keadaan dan interteks.
I.
Kohesi atau tautan: keserasian hubungan
antara satu unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesuatu
wacana bagi menghasilkan wacana yang lengkap. Keserasian hubungan tersebut
dapat dilihat melalui hubungan antara satu perkataan, frasa atau ayat lain
dalam wacana yang sama, frasa atau ayat dengan perkataan.
II.
Koheran atau runtutan: kesinambungan
idea yang terdapat dalam sesebuah wacana sehingga menjadikan teks tersebut
bermakna.
III. Tujuan:
ditentukan oleh penghasil wacana tersebut. Tujuan juga membolehkan penghasil
wacana menentukan jenis wacana yang digunakan.
IV.
Penerimaan: tahap penerimaan seseorang
itu tinggi sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang
dihasilkan sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.
V.
Maklumat: terbahagi kepada dua iaitu
maklumat lama dan maklumat baru. Maklumat lama merupakan maklumat yang telah
dinyatakan pada peringkat awal dan diulang semula dalam konteks yang
berikutnya. M Maklumat baru pula ialah maklumat yang baru sahaja dinyatakan
dengan anggapan pendengar atau pembaca tidak mengetahui maklumat itu sebelum
ini.
VI.
Keadaan: sesuatu wacana yang dihasilkan
perlu sesuai dengan keadaan. Oleh itu, untuk menghasilkan sesuatu yang sesuai
dengan keadaan, pemilihan kata, frasa atau ayat adalah penting.
VII. Interteks:
bermaksud wacana yang bergantung kepada wacana lain. Wacana-wacana yang lain
turut memainkan peranan penting untuk membantu seseorang memahami dengan mudah.
Kefahaman seseorang terhadap sesebuah wacana bergantung kepada terhadap perkara
yang dibaca atau didengarnya itu. Pengetahuannya
3.2 KEPENTINGAN MENGAPLIKASIKAN WACANA
DALAM PENULISAN KARANGAN
Wacana dalam penulisan karangan akan
mempengaruhi pengolahan, penyusunan struktur ayat, pembahagian perenggan,
penggunaan kosa kata, dan penggunaan bahasa secara keseluruhan bagi
menghasilkan sebuah penulisan atau ucapan yang baik. Isi yang banyak dan
bertepatan dengan tajuk dapat menghasilkan sebuah penulisan yang baik.
Walaubagaimanapun, sekiranya sesebuah penulisan tersebut tidak menggunakan
penanda wacana yang sesuai, maka penulisan tersebut tidak akan sempurna kerana
binaan ayatnya tidak gramatis.
i) Contoh penanda wacana bahagian
pendahuluan: “sebelum saya membicarakan dengan lebih lanjut, eloklah saya
menerangkan maksud kebersihan”.
ii) Contoh penanda wacana bahagian isi:
Pelbagai punca yang dikenal pasti telah mengakibatkan berlakunya masalah ini,
antaranya ialah pencemaran udara, pencemaran air dan sebagainya.
iii) Contoh penanda wacana bahagian penutup
Kesimpulannya, bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan hidup kita, amalan
kebersihan diri dan persekitaran amatlah penting bagi setiap individu.
Penanda wacana merupakan perangkai ayat
untuk menentukan perkaitan atau kesinambungan antara satu idea dengan satu idea
yang lain dalan ayat atau perenggan. Antara penanda wacana yang sering
digunakan ialah Sselain itu, keadaan ini, namun begitu, akibatnya begitu jua,
sebaliknya, walaupun, kesimpulannya, akhirnya, seterusnya, jadi, sementara,
kalau demikian, walau bagaimanapun, sebelumnya, kini, pada umumnya,
keseluruhannya, tegasnya dalam nada berbeza, justeru, sejajar dengan itu,
meskipun demikian, dan oleh hal demikian.
4.0
APLIKASI PENULISAN WACANA DALAM PENULISAN SEKOLAH RENDAH
Aplikasi penulisan wacana dalam dalam
penulisan sekolah rendah melibatkan tajuk atau objektif, kemahiran, media
pengajaran, dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Contohnya: tajuk
atau objektif: penulisan - menyambung cerita. murid boleh – menulis tentang
tajuk yang diberikan.
Kemahiran: 1.16 – menyoal untuk
mendapatkan maklumat.
2.26 – memberikan pendapat tentang
sesuatu pernyataan yang diketahui. Media pengajaran:- gambar, kad perkataan dan
keratin akhbar.
KBKK: Sumbang saran dan menyusun
mengikut urutan.
4.1 MERANCANG PENULISAN 1.KERANGKA
PENULISAN
Pengenalan memperkenalkan sesuatu
perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau tidak faham. Murid perlu
menarik perhatian pembaca supayamembaca penulisan tersebut. Isi Isi hendaklah
mengikuti kehendak tajuk penulisan tersebut. Penulisan yang baik sekurang
kurangnya mengandungi empat isi dan disusun dengan teratur serta berkaitan
antara satu dengan yang lain. Setiap isi perlu dipecahkan dalam perenggan yang
khusus dan isi yang utama mestilah didahulukan dalam penulisan tersebut.
Pastikan semasa mengolah ayat, isi tidak terkeluar daripada tajuk yang
dikehendaki. Keaslian isi penulisan sangat penting dalam mnghasilkan sesebuah
penulisan yang bermutu iaitu tidak meniru bulat-bulat daripada penulisan lain.
Terdapat enam kaedah yang boleh diaplikasikan dalam mengenal pasti isi iaitu:
1. Apakah?
2. Siapakah?
3. Bilakah?
4. Mengapakah?
5. Dimanakah?
6. Bagaimanakah?
Penutup Kesimpulan merupakan rumusan
secara menyeluruh bagi sesuatu penulisan yang telah dihasilkan. Dalam
kesimpulan, pendapat mengenai perbincangan atau tajuk penulisan juga perlu
digambarkan secara ringkas dan penamatan penulisan secara mengejut dan
tergantung perlu dielakkan.
4.2 CARA MENULIS
Pemilihan tajuk atau soalan semasa
memilih tajuk soalan, baca dan fahami terlebih dahulu setiap tajuk atau soalan
dan mengenalpasti segi bentuk soalan iaitu berformat atau tidak berformat.
Kemudian pilih tajuk yang benar-benar boleh dikuasai. Penyusunan rangka
penulisan Dengan menggunakan kaedah yang mudah untuk mendapatkan isi,
senaraikan semua isi penting secara ringkas dan menyusun isi mengikut urutan
dan kepentingan. Kemudian, memasukkan huraian yang disertakan dengan comtoh yang
sesuai. Semasa memulakan penulisan, pastikan dimulakan dengan pendahuluan pada
perenggan yang pertama. Setiap isi yang dihuraikan perlu ditulis dalam satu
perenggan dan disertai dengan contoh. Penyemakan penulisan setelah selesai
menulis, murid perlu melakukan penyemakan bagi memastikan tiada kelemahan dalam
penulisan yang dihasilkan. Antara aspek yang perlu disemak ialah, kejelasan
tulisan, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat dan
aspek tatabahasa yang lain.
5.0
KESIMPULAN DAN PENUTUP
Penulisan yang baik perlu mengembangkan
ideanya dengan baik dan sempurna. Penulisan yang baik dan berkesan ialah “clear
writing is clear thinking” (penulisan yang baik merupakan pemikiran yang
jelas”) Ssouri (1981). Penulisan adalah untuk menghasilkan penulisan kreatif
dan bukan kreatif yang menggunakan bahasa yang gramatis dan laras yang tepat
serta memperlihatkan pertautan idea dan wacana yang kemas dengan pemikiran yang
kritis dan analitis. Penulisan juga mengukuhkan kemahiran berfikir pada peringkat
yang tinggi seperti menganalisis, mengaplikasi dan menilai maklumat. Wacana
pula merupakan unit bahasa yang melebihi batas ayat. Selain itu, wacana turut
menunjukkan perkembangan fikiran yang berurutan dan disusun secara sempurna
seterusnya menghasilkan satu pemikiran yang utuh. Wacana terletakkan dalam
hieraki tertinggi iaitu selepas tingkat ayat, klausa, frasa dan kata. Konsep
pengajaran tatabahasa wacana dalam penulisan karangan bagi pelajar sekolah
rendah merangkumi perbendaharaan kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda
baca dan ejaan.
Kamarudin Husin (1988) telah
mengemukakan tiga peringkat strategi penulisan wacana bagi peringkat sekolah
rendah iaitu sebelum, semasa dan selepas penulisan. Ciri-ciri wacana pula
merangkumi tautan, runtutan, tujuan, penerimaan maklumat, keadaan dan
interteks. Wacana penting dalam penulisan karangan kerana mempengaruhi
pengolahan, penyusunan struktur ayat, pembahagian perenggan, penggunaan kosa
kata, dan penggunaan bahasa. Aplikasi penulisan wacana dalam dalam penulisan
sekolah rendah melibatkan tajuk atau objektif, kemahiran, media pengajaran, dan
kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Kesimpulannya, mengarang bukanlah
suatu proses yang hanya berdasarkan kepada jumlah idea atau isi, ejaan, tanda
baca dan struktur binaan ayat semata-mata. Sebaliknya, proses mengarang
memerlukan kemampuan membina perenggan idea atau isi yang sempurna dari segi
pengolahannya dan mempunyai wacana yang berkesan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan