ISU PERTAMA
Tahap Penerimaan dalam Kajian Analisis Wacana
Abstrak
Tahap penerimaan
merupakan sesuatu yang penting dalam wacana kerana tahap penerimaan akan
menilai tahap penerimaan dan pemahaman pendengar atau pembaca terhadap sesebuah
teks. Tahap penerimaan ini dilihat dalam dua keadaan iaitu penerimaan tinggi
dan penerimaan rendah. Oleh itu, analisis ini akan menganalisis dengan lebih
terperinci tentang tahap penerimaan tinggi dan juga tahap penerimaan rendah
berdasarkan contoh-contoh yang diberikan. Selain itu, analisis ini juga akan
melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap kebolehbacaan kerana
dilihat berupaya mempengaruhi tahap penerimaan seseorang pembaca atau
pendengar. Hal ini disebabkan, tahap kebolehbacaan berkaitan dengan aspek
seperti proses membaca, iaitu kefasihan dan pemahaman. Tambahan pula, analisis
ini juga turut menyelitkan langkah-langkah untuk mengatasi setiap permasalahan
yang mengakibatkan sesuatu ayat itu dikategorikan sebagai penerimaan rendah
Kata kunci : wacana,
tahap penerimaan, penerimaan tinggi, penerimaan rendah, tahap kebolehbacaan,
Pendahuluan
Menurut Henry Guntur
Tarigan, wacana merupakan satuan bahasa yang terlengkap dan tertinggi atau
terbesar di atas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi tinggi yang
berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang disampaikan secara lisan
atau tertulis. Hal ini bermaksud setiap ayat, cerita, dialog mahupun buku
seharusnya mempunyai awal dan akhir iaitu dimulai dengan kesenyapan dan
diakhiri dengan kesenyapan.
Asmah
Haji omar pula, mendefinisikan wacana sebagai unit bahasa yang melebihi batas
ayat. Hal ini bermakna, wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat,
ceraian bab, buku dan sebagainya. Tambahan pula turut memperlihatkan kesatuan
dan hubungan antara butir-butir fikiran dan perkembangan akaliah yang terdapat
di dalamnya. Selain itu, menurut Sanat Md. Nasir (2002), wacana merujuk kepada
teks, iaitu unit bahasa yang melebihi unit teks. Unit teks boleh berdiri
sebagai satu ayat yang baik secara fonik mahupun grafik. Tambah beliau lagi,
wacana bermakna bidang kajian terhadap unit bahasa tersebut. Hal ini menyamai
dengan maksud analisis wacana. Analisis teks, linguistik teks ataupun
linguistik wacana.
Menurut
Mohd Rashid Md Idris et al. dalam Analisis Wacana (2012: 104) analisis wacana
merujuk kepada usaha mengkaji organisasi bahasa yang melampaui peringkat ayat
dan klausa. Wacana merupakan rakaman kebahasaan yang menyentuh tentang
peristiwa komunikasi. Seterusnya, analisis wacana juga turut meneliti
penggunaan bahasa dan konteks serta dianggap penggunaan bahasa dalam konteks
yang membawa makna. Hal ini demikian kerana, wacana akan wujud apabila berlakunya
interaksi antara penulis dengan pembaca jika melibatkan karangan atau
komunikasi bertulis.
Analisis
wacana disebut juga sebagai kajian wacana, linguistik teks atau tatabahasa
wacana. Bidang ini sebenarnya merealisasikan konsep unit tatabahasa yang tertinggi,
terbesar atau terlengkap sebagai korpus bahasa yang dikaji. Seterusnya,
analisis wacana merupakan cabang ilmu bahasa yang dikembangkan untuk
menganalisis suatu unit bahasa yang lebih besar daripada kalimat (Soeseno,
1992: 1). Tambahnya lagi, analisis wacana merujuk kepada usaha dalam mengkaji
organisasi bahasa yang melampaui peringkat ayat dan klausa. Kajian yang akan
dilakukan ini ialah tahap penerimaan dalam kajian analisis wacana. Oleh itu,
pengkaji akan menjelaskan secara terperinci berkaitan tajuk tersebut.
Menurut
Mohd Rashid Md Idris et al. dalam Tatabahasa Wacana (2012: 33) tahap penerimaan
merupakan penilaian yang dibuat oleh penulis terhadap kebolehan membaca mesej
yang disampaikan. Disamping itu, menilai pemahaman pendengar atau pembaca terhadap
sesuatu teks. Pembaca atau pendengar berfungsi untuk menentukan sesebuah wacana
yang dihasilkan oleh penulis atau penutur dapat difahami dengan jelas atau
tidak. Oleh itu, dapat dikatakan bahawa pendengar atau pembaca merupakan
penerima wacana. Tahap penerimaan boleh dibahagikan kepada dua iaitu penerimaan
tinggi dan penerimaan rendah. Penerimaan tinggi berlaku sekiranya pendengar
atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk
tulisan ataupun lisan. Penerimaan rendah pula terjadi sekiranya sesuatu ayat
tidak bermakna dan tidak dapat difahami oleh pembaca atau pendengar . Jika hal
ini berlaku, ayat tersebut tidak dikategorikan sebagai sebuah wacana.
Metodologi Kajian
Kaedah kajian yang
digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kepustakaan. Pengkaji memulakan langkah
pertama dengan membuat pelbagai pembacaan ke atas buku-buku rujukan yang
berkaitan dengan tajuk yang dikaji iaitu Tahap Penerimaan dalam Kajian Analisis
Wacana di Perpustakaan Tuanku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris. Antara
bahan bacaan tersebut ialah Tatabahasa Wacana, Analisis Wacana, Kamus Dewan
Edisi Keempat dan lain-lain. Selain itu, maklumat daripada laman sesawang juga
turut diambil dan digunakna untuk menambah maklumat yang sedia ada.
Objektif Kajian
Analisis yang
dilakukan ini merangkumi objektif-objektif seperti yang berikut :
i)
Mengenal pasti tahap penerimaan sama ada tinggi atau
rendah dalam sesebuah wacana
ii)
Melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap
kebolehbacaan
iii)
Mengenal pasti langkah-langkah untuk mengatasai tahap
penerimaan rendah.
Batasan Kajian
Analisis ini hanya
tertumpu kepada bidang analisis wacana sahaja kerana tahap penerimaan merupakan
aspek yang terdapat dalam bidang analisis wacana. Analisis ini tertumpu kepada
dua tahap penerimaan iaitu penerimaan tinggi dan penerimaan rendah berdasarkan
contoh-contoh yang diberikan. Selain itu, melihat perkaitan antara tahap
penerimaan dengan tahap kebolehbacaan pembaca atau pendengar terhadap sesebuah
teks dan langkah yang sesuai untuk mengatasai setiap permasalahan bagi
penerimaan rendah.
Perbincangan/ Analisis
Analisis ini akan
membincangkan dengan lebih lanjut dua jenis penerimaan iaitu penerimaan tinggi
dan penerimaan rendah berdasarkan contoh-contoh yang diberikan. Selain itu,
analisis ini akan melihat perkaitan antara tahap penerimaan dengan tahap
kebolehbacaan. Tambahan pula, analisis ini akan melihat cadangan-cadangan yang
sesuai dalam mengatasi masalah penerimaan rendah.
Tahap Penerimaan
Wacana merupakan
kesatuan bahasa yang lengkap dan paling tinggi dalam pertuturan dan penulisan.
Hal ini memperlihatkan kesinambungan fikiran, baik dari aspek komunikasi dan
juga konteks. Selain itu, wacana juga merupakan satu rententan ujaran yang
berkaitan antara satu sama lain mengikut urutan kalimat-kalimat.
Menurut
Idris Aman (2010), kebolehterimaan bermaksud idea, gagasan atau mesej yang
diutarakan dalam wacana mesti mampu difahami dan diikuti oleh khalayaknya. Oleh
itu, urutan ayat atau teks dalam wacana bertulis atau ujaran dalam tuturan
perlu diberi perhatian. Jikalau idea itu sukar atau mujarad pewacana wajar
memudahkan cara penyampaiannya dengan memperbanyak keterangan, contoh, huraian,
definisi dan lain-lain.
Menurut
Mohd Rashid Md Idris et al. (2012: 95), penerimaan merupakan salah satu tahap
yang terdapat dalam runtutan. Penerimaan akan menilai tahap penerimaan dan juga
pemahaman pendengar ataupun pembaca terhadap sesebuah teks. Pada tahap
penerimaan, seseorang pembaca atau pendengar akan menentukan sesebuah wacana
yang dihasilkan oleh penulis atau penutur dapat difahami dengan jelas ataupun
tidak. Oleh sebab itu, pendengar atau pembaca merupakan penerima sesebuah
wacana. Seterusnya, tahap penerimaan seseorang itu tinggi sekiranya pendengar
atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang diujarkan sama ada dalam bentuk
lisan mahupun tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan menjadi tinggi apabila
tahap tujuan sama dengan tahap penerimaan. Tahap penerimaan dalam analisis
wacana ini dapat dibahagikan kepada dua iaitu :
Penerimaan Tinggi
Penerimaan tinggi
bermaksud sekiranya pendengar atau pembaca memahami sepenuhnya wacana yang
diujarkan oleh penutur atau penulis sama ada dalam bentuk lisan mahupun
tulisan. Tambahan pula, tahap penerimaan akan menjadi tinggi apabila tahap
tujuan sama dengan tahap penerimaan. Selain itu, penerimaan yang tinggi
terhadap sesuatu wacana yang diujarkan menunjukkan keberhasilan sesuatu
penghasilan wacana tersebut. Hal ini kerana, penerimaan tinggi tersebut
menunjukkan wacana tersebut mendapat tarikan pendengar atau pembaca kerana
mudah difahami dengan jelas. Di samping itu, tahap penerimaan tinggi sekiranya
seseorang penulis atau pembicara mengembangkan idea topik dengan sempurna dan
lengkap bagi memudahkan pembaca memahami tujuan penulisan dan berpuas hati
dengan pembacaan agar mereka dapat memahami wacana yang hendak disampaikan. Contohnya
seperti yang berikut :
Autistik ini dikenali sebagai neurodevelopmental disorder iaitu satu
kecelaruan dalam pembentukan otak. Fungsi dan bentuk bahasa individu autistik
adalah agak terkebelakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang seumur
dengannya. Individu autistik kurang berpotensi untuk membentuk fleksibiliti
dalam bidang penggunaan bahasa. Pertuturan mereka berrgantung kepada hafalan.
Tajuk perbualan mereka terhad walaupun mereka mempunyai perbendaharaan kata
yang luas. Masalah kata ganti nama adalah masalah yang sering terjadi dalam
pertuturan individu autistik. Kerencatan akal yang dialami oleh kanak-kanak
autistik adalah lebih teruk jika diukur dari sudut psikologikal, di mana
tindak balas terhadap rangsangan adalah perlahan.
|
Berdasarkan
contoh ayat di atas adalah dianggap sebagai wacana. Hal ini kerana, ayat
tersebut bermakna dan memperlihatkan saling berkaitan antara suatu ayat dengan
suatu ayat yang seterusnya. Secara tidak langsung, memberikan kefahaman dan
kejelasan kepada pembaca atau pendengar terhadap sesuatu teks. Berdasarkan ayat
tersebut ayat topiknya ialah autistik. Jika dilihat ayat seterusnya menerangkan
tentang ciri-ciri bagi individu yang mengalami autistik. Ayat di atas saling
berkesinambungan antara ayat. Ayat tersebut dilihat menepati tujuan seseorang
penulis dalam sesebuah wacana. Hal ini kerana, ayat tersebut mempunyai makna
dan mempunyai kesinambungan antara ayat-ayat. Oleh itu, pembaca dapat memahami
tujuan penulis tersebut. Hal ini menunjukkan tahap tujuan seseorang penulis
adalah sama tinggi dengan tahap penerimaan pembaca apabila pembaca dapat
memahami sesebuah teks yang ditulis oleh penulis ayat ini. Contoh ayat yang
lain boleh dilihat adalah berdasarkan ayat yang berikut:
Pokok kari
atau nama saintifiknya ialah Murraya Koenigii merupakan sejenis pokok yang
kecil, malar hijau dan ketinggiannya boleh mencapai 3-5 meter. Batangnya
tidak begitu lurus, berdahan banyak dan bercabang-cabang. Batang pokok kari
ini adalah jenis kayu lembut ketika muda dan menjadi kayu yang keras apabila
dewasa. Daun kari mempunyai susunan yang bertentangan dengan bentuk epiliptik
berukuran 2-3 cm panjang dan 1.0-1.5 cm lebar. Daun kari ini akan membentuk
silara yang agak rimbun. Daun kari ini mempunyai bunga kecil yang berwarna putih.
|
Berdasarkan
contoh ayat di atas, ayat tersebut dianggap sebagai sebuah wacana kerana
membawa makna. Hal ini kerana, ayat tersebut menunjukkan bahawa penulis ingin
menyampaikan sesuatu maklumat kepada pembaca tentang sesuatu perkara iaitu berkaitan
dengan pokok kari. Tahap penerimaan seseorang pembaca terhadap teks tersebut
dapat dinilai. Hal ini kerana, pembaca dapat memahami tujuan penulis menulis
wacana tersebut. Oleh sebab itu, menunjukkan bahawa tahap tujuan seseorang
penulis adalah sama dengan tahap penerimaan pembaca. Antara contoh lain juga
dapat dilihat di bawah ini :
Kanak-kanak
yang menghidapi Sindrom Down mempunyai ciri-ciri fizikal yang unik kerana
mempunyai iras muka yang hampir sama. Mereka juga mempunyai pangkal hidung
yang kemek. Mata mereka adalah sepet iaitu bahagian luarnya naik ke atas dan
terdapat lipatan pada kedua-dua sisi hidung yang menutupi bahagian dalam
mata. Selain itu, mata mereka sentiasa berair dan kelihatan merah. Saiz mulut
mereka adalah kecil dan sentiasa terbuka serta tidak tertutup dengan rapat.
Tambahan pula, saiz lidah yang tebal, kasar dan pendek menyebabkan lidah
penghidap Sindrom Down selalu terjelir. Di samping itu, mereka mempunyai
bentuk badan yang gempal, rendah dan agak bongkok. Mereka juga majoritinya
berambut lurus dan lembut.
|
Berdasarkan
contoh ayat di atas penulis sebenarnya ingin menyampaikan maklumat kepada
pembaca atau pendengar berkaitan dengan ciri-ciri fizikal kanak-kanak yang
menghadapi Sindrom Down. Jika dilihat ayat tersebut mempunyai makna. Hal ini
kerana ayatnya mempunyai perkaitan dan mempunyai kesinambungan antara satu sama
lain. Tahap penerimaan oleh pembaca dan pendengar terhadap teks ini dapat
dinilai. Hal ini kerana, pembaca atau pendengar dapat memahami tujuan penulis
menulis sesebuah wacana tersebut. Contoh yang lain adalah seperti di bawah:
Obesiti atau
kegemukan menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit kronik yang boleh membawa
kepada kematian. Penyakit-penyakit yang dihidapi kesan daripada obesiti boleh
merendahkan kualiti hidup penghidapnya. Antara penyakit-penyakit yang
disebabkan oleh obesiti ialah Dyslipidaemia, kegagalan jantung,
Osteoarthritis, dan lain-lain lagi.
|
Ayat
di atas menjelaskan maklumat mengenai implikasi kegemukan atau obesiti. Ayat di
atas merupakan laras sains kerana menggunakan istilah-istilah sains seperti
dyslipidaemia, Osteoarthritis dan lain-lain. Ayat ini mempunyai makna dan
memenuhi sesebuah wacana. Hal ini demikian kerana, setiap ayat yang ditulis
mempunyai kesinambungan antara satu sama lain. Tahap penerimaan bagi ayat ini
adalah dapat dinilai kerana pembaca atau pendengar dapat memahami dengan jelas
apa yang cuba disampaikan oleh penulis.
Penerimaan Rendah
Penerimaan rendah
merujuk kepada sesuatu ayat yang disampaikan oleh penulis atau penutur yang
tidak bermakna. Sekiranya ayat tersebut tidak membawa apa-apa makna maka ayat
tersebut akan sukar difahami oleh pendengar atau pembaca. Tambahan pula, ayat
seperti itu tidak boleh dikategorikan sebagai sesebuah wacana. Sekiranya
fenomena ini terjadi maka tahap penerimaan pembaca atau pendengar terhadap
sesebuah ayat adalah rendah. Antara contoh ayat tersebut adalah seperti yang
berikut:
Nur Sakinah
merupakan seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapanya. Dia selalu
dimarahi oleh ibu bapanya kerana selalu melakukan perkara yang dilarang
sehinggakan ibu bapanya berasa kecewa dengan sikapnya itu.
|
Berdasarkan ayat di atas adalah
tidak boleh dianggap sebagai sebuah wacana. Hal ini kerana ayat tersebut tidak
bermakna dan secara tidak langsung menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau
pendengar. Ayat di atas merupakan ayat yang berlawanan dengan ayat seterusnya.
Jika dilihat ayat tersebut menerangkan bahawa ‘Nur Sakinah seorang anak yang
sangat taat kepada ibu bapanya’ adalah berlawanan dengan ‘Dia selalu dimarahi
oleh ibu bapanya kerana selalu melakukan perkara yang dilarang sehinggakan ibu
bapanya berasa kecewa dengan sikapnya itu’. Hal ini bermakna ayat tersebut
tidak membawa makna dan sekaligus menyebabkan tujuan wacana ayat tersebut tidak
jelas.
Apabila
keadaan ini berlaku sudah pasti akan menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau
pendengar. Hal ini telah mengakibatkan pembaca atau pendengar tidak memahami
sesuatu ayat yang ingin disampaikan dengan jelas dan tepat. Tambahan pula, ayat
tersebut tidak menunjukkan kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan
ayat yang lain. Di samping itu, keadaan ini akan menyebabkan tahap tujuan
seseorang penulis atau penutur tidak sampai kepada tahap penerimaan seseorang
pembaca dan pendengar kerana pembaca atau pendengar tidak memahami makna ayat
tersebut serta tujuan penulis atau penutur menyampaikan ayat tersebut. Oleh
itu, ayat tersebut dianggap mempunyai tahap penerimaan yang rendah dan tidak
digolongkan sebagai sebuah wacana yang utuh. Antara contoh ayat yang lain
adalah seperti yang berikut:
Maslinda
seorang yang sentiasa memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat. Dia
selalu dipandang serong oleh masyarakat kerana selalu memakai pakaian yang
menjolok mata.
|
Berdasarkan
ayat di atas menunjukkan bahawa ayat tersebut membawa makna yang bertentangan
dengan dengan makna ayat yang kedua. Ayat yang disampaikan kepada pembaca atau
pendengar tersebut adalah tidak bermakna. Ayat di atas tidak menunjukkan
kesinambungan dan perkaitan antara satu ayat dengan satu ayat yang lain. Ayat
itu sepatutnya apabila Maslinda seorang yang sentiasa memakai pakaian yang
sopan dan menutup aurat maka sudah tentulah dia tidak akan memakai pakaian yang
menjolok mata sehinggakan masyarakat memandang serong terhadapnya. Jika
wujudnya pertentangan seperti yang berlaku pada ayat ini akan mengakibatkan
pembaca atau penutur keliru dalam memahami makna sebenar ayat tersebut. Ayat
seperti ini tidak dianggap sebagai sebuah wacana. Keadaan ini akan menyebabkan
tahap penerimaan terhadap ayat ini menjadi rendah. Contoh yang seterusnya :
Leman
seorang pelajar yang rajin berusaha dan cerdik. Di sering melakukan salah
laku buli dan vandelisme serta sering dimarahi oleh guru kelasnya.
|
Contoh ayat di atas menunjukkan dua
ayat yang mengandungi makna yang bertentangan antara satu sama lain. Sekiranya
penulis atau penutur menyampaikan sesuatu ayat yang sebegitu maka pendengar
atau pembaca akan menghadapi kesukaran untuk memahami makna ayat tersebut
dengan jelas. Kekeliruan makna ayat tersebut akan menyebabkan ayat ini
tergolong dalam tahap penerimaan yang rendah. Ayat di atas sepatutnya apabila
Leman seorang pelajar yang rajin berusaha dan cerdik maka sudah tentulah dia
tidak akan melakukan salah laku buli dan vandelisme serta sering dimarahi oleh
guru kelasnya. Namun, ayat tersebut berlawanan antara ayat yang pertama dengan
ayat yang kedua. Contoh berikutnya ialah:
Persembahan
deklamasi sajak oleh Firdaus amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh.
Persembahannya begitu hambar dan membosankan.
|
Berdasarkan contoh di
atas ayatnya juga tidak berkesinambungan dan tidak ada perkaitan antara ayat
yang pertama dengan ayat yang kedua. Sepatutnya apabila persembahan deklamasi
sajak oleh Firdaus amat menarik dan mendapat tepukan yang gemuruh maka sudah
tentu persembahannya tidak hambar dan tidak membosankan. Contoh ayat tersebut
telah memberi kekeliruan makna kepada pendengar atau pembaca. Tambahan pula,
ayat yang ingin disampaikan oleh penutur atau penulis tidak jelas maknanya.
Oleh sebab itu, ayat ini digolongkan sebagai tahap penerimaan yang rendah
kerana tahap tujuan penulis atau penutur tidak sampai dengan jelas kepada
pembaca atau pendengar
Perkaitan Tahap Penerimaan dengan Tahap Kebolehbacaan
Menurut Marohaini
Yusoff (2014: 22) mendefinisikan bahawa
kebolehbacaan merupakan satu konsep yang merujuk pada tahap atau darjah susah
senangnya sesuatu bahan untuk dibaca. Bahan yang susah untuk dibaca dikatakan
mempunyai tahap kebolehbacaan tinggi. Manakala bahan yang senang dibaca
dikatakan mempunyai kebolehbacaan yang rendah. Tahap kebolehbacaan sesuatu
bahan bacaan diukur apabila bahan itu dibaca. Oleh itu, tahap kebolehbacaan
sesuatu bahan itu berbeza-beza, bergantung pada tahap kebolehan membaca
seseorang pembaca. Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2012: 98), tahap
penerimaan yang melibatkan seseorang pembaca atau pendengar adalah bergantung
kepada tahap kebolehbacaan mereka.
Kebolehanbacaan adalah berkaitan
dengan beberapa aspek seperti proses membaca iaitu pemahaman atau kefasihan.
Sekiranya, seseorang pendengar atau pembaca menguasai aspek tersebut maka
secara tidak langsung akan mempengaruhi sesuatu tahap penerimaan terhadap bahan
yang disampaikan oleh penulis atau penutur. Menurut Marohaini Yusoff (2014:
24), tahap kebolehbacaan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor antaranya ialah
perbendaharaan kata, pembentukan ayat atau jenis ayat dan panjang pendek ayat
serta perkataan. Selain itu, penggunaan konsep-konsep, saiz dan stail cetakan,
penggunaan dan penyusunan bahan visual atau grafik, bentuk penulisan,
penyusunan idea atau isu minat pembaca dan pengetahuan latar pembaca juga
mempengaruhi tahap kebolehbacaan.
Pemahaman terhadap sesuatu bahan
bukanlah sekadar dikaitkan dengan makna-makna yang terdapat dalam tulisan
bercetak tetapi juga turut bergantung kepada kelancaran dan kefasihan serta
tarikan dan minat terhadap bahan yang dibaca. Hal ini merupakan suatu elemen
yang sangat penting supaya pembaca atau pendengar dapat memahami sesebuah
wacana yang disampaikan oleh seseorang penutur atau penulis. Oleh itu, tahap
penerimaan sesuatu bahan yang dibaca sudah tentu akan menjadi tinggi. Marohaini
Yusuff (2014: 24-25), mengatakan bahawa minat dan pengetahuan serta pengalaman
pembaca merupakan faktor yang tidak dapat dikawal. Contohnya, bahan X mungkin
dapat menarik minat pembaca atau pendengar A tetapi membosankan pembaca atau
pendengar B. Apabila situasi ini berlaku menunjukkan bahawa kebolehbacaan bahan
X adalah rendah bagi pembaca atau pendengar A dan tinggi bagi pembaca atau
pendengar B. Lazimnya, seseorang itu mendapati pembacaan sesuatu bahan
menyeronokkan kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan dan pengalaman lalu
yang dapat dikaitkan dengan apa yang dibaca.
Jika
dilihat berdasarkan contoh situasi tersebut tahap kebolehbacaan sememangnya
dapat dikaitkan dengan tahap penerimaan. Sekiranya, kebolehbacaan pembaca atau
pendengar rendah maka sudah tentulah tahap penerimaan terhadap sesebuah wacana
adalah tinggi kerana sesebuah wacana tersebut dapat memberi kefahaman,
kefasihan dan juga berupaya menarik minat mereka. Manakala, jika kebolehbacaan
pembaca atau pendengar tinggi terhadap sesuatu bahan maka tahap penerimaan
mereka akan menjadi rendah kerana bahan tersebut tidak memberi kefahaman, tidak
menarik minat mereka dan menimbulkan kekeliruan kepada mereka.
Selain
itu, aspek kebolehbacaan turut menegaskan tentang masalah pemahaman terhadap
pengetahuan makna dan juga frasa serta boleh menghubungkan bahan-bahan yang
dibaca dengan pengalaman-pengalaman seseorang. Oleh itu, aspek kebolehbacaan
oleh seseorang pembaca dalam tahap penerimaan sangat penting supaya seseorang itu
dapat membaca sesebuah wacana dengan baik dan seterusnya dapat memahami tujuan
wacana yang ingin disampaikan oleh seseorang penulis.
Cadangan Mengatasi Tahap Penerimaan Rendah
Masalah
tahap penerimaan rendah ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa aspek
tertentu. Walau bagaimanapun, setiap masalah atau kerumitan yang berlaku sudah
tentulah mempunyai langkah dan cara yang sesuai dalam mengatasi permasalahan
itu. Apabila tahap penerimaan rendah dapat diatasi dengan baik maka sudah
pastilah wacana yang disampaikan itu menjadi lebih bermakna dan secara tidak
langsung komunikasi yang diwujudkan akan lebih efektif serta berkesan. Seperti
yang diketahui, sesebuah teks yang dianggap baik apabila tujuan penulis sama
dengan penerimaan pembacanya. Sekirannya tujuan pembaca atau pendengar ingin
mendapatkan sesuatu maklumat maka tujuan penulis atau penutur mestilah sama
dengan tujuan pembaca atau pendengar tersebut.
Contohnya,
pembaca ingin mendapatkan maklumat mengenai obesiti atau kegemukan maka pembaca
tersebut hendaklah mendapatkan dan mencari wacana atau teks seperti buku-buku
ilmiah yang berkaitan dengan obesiti atau kegemukan. Seandainya, pembaca
tersebut mencari dan membaca bahan-bahan ilmiah yang tidak berkaitan dengan
tujuannya itu seperti buku politik, buku masakan dan lain-lain sudah tentulah
tahap penerimaannya rendah dan secara tidak langsung komunikasi antara pembaca
yang ingin mendapatkan maklumat mengenai obesiti atau kegemukan dengan penulis
politik dan masakan tidak berkesan.
Seterusnya,
bahasa yang digunakan oleh penulis atau penutur mestilah bahasa yang dapat
difahami dengan jelas oleh pembaca atau pendengar. Misalnya, penulis atau
penutur menggunakan bahasa Melayu ketika komunikasi berlaku maka pembaca atau pendengar haruslah memahami
bahasa Melayu tersebut. Hal ini barulah tahap penerimaan akan menjadi tinggi
kerana pembaca atau pendengar faham dengan jelas melalui penggunaan bahasa
Melayu tersebut. Sekiranya, penutur menggunakan bahasa Melayu kepada mereka
yang tidak memahami mahir dalam bahasa Melayu atau tidak faham bahasa Melayu
sudah pastilah tahap penerimaan tersebut akan menjadi rendah. Oleh itu, bahasa
yang digunakan oleh golongan penutur dan penulis mestilah difahami oleh
golongan pendengar atau pembaca. Bahasa yang berlawanan dengan bahasa yang
difahami oleh pembaca atau pendengar akan mengakibatkan tahap penerimaan
rendah.
Selain
itu, penulis atau penutur perlulah menggunakan ayat yang mudah difahami oleh
pembaca atau pendengar. Penulis atau penutur perlu memastikan ayatnya tidak
menimbulkan kekeliruan kepada pembaca atau pendengar. Penggunaan ayat yang
ringkas, tidak berbelit-belit dan tidak mengelirukan pembaca atau pendengar
perlu dititik beratkan atau ditekankan oleh penulis atau penutur dalam memastikan
tahap penerimaan tinggi. Tambahan pula, penutur atau penulis sememangnya
digalakkan untuk menggunakan ayat yang padat tetapi ringkas.
Penulis
atau penutur juga perlulah bijak dalam mengembangkan idea topiknya dengan
sempurna dan lebih bermakna. Oleh itu, penulis atau penutur mestilah mempunyai
pengetahuan dalam tautan dan runtutan. Hal ini kerana, tautan dan runtutan
berupaya untuk mengembangkan sesuatu idea serta dapat memastikan penulisan
tersebut mempunyai pertalian. Apabila penulis atau penutur dapat mengembangkan
idea topiknya dengan baik maka kesinambungan atau perkaitan antara satu ayat ke
satu ayat yang lain akan terwujud. Hal ini secara tidak langsung memberi
kefahaman kepada pembaca atau pendengar dan terhasilah tahap penerimaan yang
tinggi.
Rumusan
Secara kesimpulannya,
wacana ini merupakan unit bahasa yang mempunyai kesatuan fikiran yang utuh dan
melebihi batas ayat. Wacana bukan sahaja disampaikan melalui tulisan malahan
melalui lisan iaitu komunikasi. Wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah
ayat, ceraian, dialog, bab, buku, siri buku dan lain-lain lagi. Hal ini
menggambarkan bahawa hubungan dan perkembangan idea secara berturutan dan
lengkap. Selain itu, wacana dikatakan utuh agar pembentukkannya dapat memberi
kejelasan dan kefahaman kepada pembaca atau pendengar. Oleh itu, dapat dilihat
bahawa sesebuah wacana yang dihasilkan oleh seseorang penutur mahupun penulis
berupaya mempengaruhi tahap penerimaan sama ada tinggi ataupun rendah.
Penerimaan
tinggi terhadap sesebuah wacana berlaku apabila seseorang pembaca atau
pendengar memahaminya dengan jelas dan apabila tahap tujuannya sama dengan
tahap penerimaan. Tambahan pula, wacana yang tidak menimbulkan kekeliruan dan
tidak menggunakan ayat yang berbelit juga menjadi faktor kepada penerimaan
tinggi. Penerimaan rendah pula berlaku apabila ayat yang disampaikan oleh
penulis atau penutur tidak bermakna dan menimbulkan kekeliruan kepada pembaca
atau pendengar. Oleh sebab itu, sesuatu ayat yang disampaikan oleh penutur atau
penulis tidak dapat difahami dengan jelas. Apabila situasi ini berlaku ayat
tersebut tidak digolongkan sebagai sebuah wacana.
Selain
itu, tahap penerimaan ini juga dilihat amat berkait rapat dengan tahap
kebolehbacaan kerana, kebolehbacaan ini berkait dengan pemahaman dan kefasihan.
Hal ini bermaksud jika seseorang pembaca atau pendengar itu mempunyai tahap
kebolehbacaan yang baik maka sudah pastilah mereka dapat memahami sesebuah
wacana dengan jelas. Selain itu, jika dilihat masih lagi terdapat penghasilan
ayat yang tidak utuh dari segi wacananya yang mengakibatkan tahap penerimaan
menjadi rendah. Oleh itu, langkah-langkah atau cara mengatasi masalah tahap
penerimaan rendah yang dinyatakan dalam analisis ini sedikit sebanyak dapat
membantu untuk memastikan tahap penerimaan menjadi tinggi.
Rujukan
Hendry Tarigan.
(1995). Pengajaran Wacana. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Idris Aman. (2010).
Analisis Wacana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kamus Dewan Edisi
Keempat. (2015). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Rashid Md Idris,
Norliza Jamaluddin, Abu Hassan abdul dan Adenan Ayob. (2012). Tatabahasa Wacana. Perak : Emeritus
Publications.
Mohd Rashid Md Idris,
Norliza Jamaluddin, Abu Hassan abdul dan Adenan Ayob. (2012). Analisis Wacana. Perak : Emeritus
Publications.
Mahoraini Yusuff.
(2014). Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman: Memantapkan Pembelajaran di Sekolah Menengah.
Selangor: PTS Akademia
Sanat Md. Nasir.
(2002). Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu Akhbar. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wacana (2012).
Diperoleh pada 20 April, 2015 daripada wacanaq.blogspot.com
Wacana (2009).
Diperoleh pada 20 April, 2015 daripada http://pelangi petang89. Blogspot.com/2009/07/wacana.html
__________________________________________________________
ISU KEDUA
FUNGSI WACANA DALAM BAHASA MELAYU
ABSTRAK
Penggunaan wacana dalam penulisan
terutamanya Bahasa Melayu merupakan sesuatu yang sangat penting bagi melahirkan
sesebuah hasil yang berkualiti. Setiap murid yang berada di sekolah rendah
mahupun menengah seharusnya tahu akan fungsi dan seterusnya mahir menggunakan
wacana ini pada tempat yang sepatutnya. Kegagalan seseorang pelajar menguasai
wacana, akan menyebabkan mereka gagal dalam melahirkan atau menghasilkan
sesebuah penulisan yang kritis dan puitis. Wacana bukanlah sesuatu yang boleh
dipandang ringan oleh pelajar, malah ianya perlu dipelajari dan dikuasai.
Latihan yang berterusan sama ada bertulis mahupun pembacaan perlu ditekankan
kepada pelajar-pelajar sejak di bangku sekolah rendah lagi agar mereka dapat
menguasai sepenuhnya sehinggalah mereka dapat mengaplikasinya sehingga ke tahap
menara gading dan ke tahap yang lebih tinggi lagi.
1.0 PENDAHULUAN
Bahasa adalah alat perhubungan
yang paling efektif. Bahasa juga menggambarkan status seseorang . Penggunaan
kata yang sempurna dan tuntas baik secara lisan mahu pun tulisan menjadikan
bahasa itu semakin gramatis dan difahami. Penggunaan kata dan wacana dalam ayat
yang dituturkan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang lengkap setanding dengan
bahasa-bahasa lain di dunia.
Wacana
merupakan suatu bahagian atau unit yang paling tinggi yang melampaui sebaris
ayat yang lengkap. Oleh yang demikian, wacana dapat
dijelmakan dalam pelbagai bentuk sehinggalah meliputi peristiwa bahasa. Menurut
Kamus Dewan (2007), wacana membawa maksud keseluruhan tutur kata yang merupakan
suatu kesatuan, ucapan, pertuturan serta percakapan. Manakala menurut pendapat
Harimurthi (1982) pula, wacana merupakan unit bahasa yang melebihi batas
ayat. Sementara itu, Raminah Haji Sabran (1985) dalam bukunya yang
bertajuk Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab
Perguruan, mendefinisikan wacana adalah unit bahasa yang melebihi
batas ayat, kerana itu ia boleh terdiri daripada ayat, sejumlah ayat, ceraian,
bab, buku, dialog, siri buku dan sebagainya yang di dalamnya memperlihatkan
hubungan-hubungan dan perkembangan fikiran yang berturutan. Menurut beliau
lagi, wacana merupakan kesatuan bahasa yang lengkap. Di dalam tatabahasa,
wacana ini diletakkan di tahap paling atas atau tertinggi mengikut hierarki dan
boleh dinyatakan seperti rajah berikut:
Fornem à morfem à Perkataan à Frasa à Klaus à Ayat à Wacana
|
Berdasarkan
pernyataan-pernyataan di atas, dapatlah dikatakan bahawa setiap bahasa
mempunyai bilangan ayat yang tidak terhad. Walaupun begitu, sejumlah ayat
tertentu hanya membawa satu tumpuan makna sahaja. Manakala tumpuan makna pula
akan membentuk satu fokus pemikiran yang mana di dalam tatabahasa
ianya disebut sebagai wacana. Selain itu, wacana juga boleh disebut sebagai
rentetan, tautan dan hubungan
antara sistem bahasa yang tersusun sehingga menjadi satu bentuk ayat,
perenggan, karangan, sebuah novel, sebuah majalah, buku seminar, bengkel, forum
dan sebagainya.
Wacana
berasal daripada perkataan Jawa iaitu ‘wocono’ atau ‘woco’ yang
membawa maksud baca. Terdapat dua jenis wacana di dalam unit bahasa iaitu
wacana lisan dan wacana tulisan. Wacana lisan dihasilkan atau dituturkan secara
lisan dan melibatkan komunikasi secara langsung antara penutur dengan pendengar
seperti aktiviti perbualan harian, temu ramah, ceramah, ucapan, khutbah dan
sebagainya. Wacana jenis ini melibatkan ekspresi wajah, nada suara, gerak badan
dan sebagainya dalam menyampaikan sesuatu maksud. Manakala wacana tulisan pula
berkisar kepada tulisan dan melibatkan hubungan antara penulis dengan pembaca.
Komunikasi yang berlaku dalam wacana tulisan ini adalah secara tidak langsung .
Contoh wacana tulisan adalah seperti tulisan rencana, akhbar, majalah, novel
dan lain-lain lagi.
2.0 FUNGSI PENANDA WACANA
Penanda wacana ialah
perkataan atau rangkaian perkataan yang berfungsi untuk
menghubungkan sesuatu idea, hujah dan pandangan seseorang semasa
menulis atau berucap dan ia amat penting dalam sesuatu teks kerana
penanda wacana dapat mewujudkan pertautan serta kesinambungan antara sebahagian
teks dengan yang lain sehingga terbentuk kesatuan. Dalam lain perkataan,
penanda wacana ini digunakan
untuk:
i) menyambung
ayat dengan ayat;
ii) menghubungkan
perenggan dengan perenggan yang lain
iii) melahirkan ayat-ayat dan perenggan yang berkesinambungan, gramatis dan bermakna.
Raminah
Hj Sabran (1985) melalui bukunya Kajian Bahasa untuk Pelatih Maktab Perguruan
telah membincangkan tentang fungsi penanda wacana dengan meluas sebagai panduan
kepada bakal-bakal guru yang akan mendidik anak bangsa seluruh negara. Nik
Safiah Karim (2009) di dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga ada menyebut tentang
fungsi penanda wacana ini. Pendapat beliau turut dikongsi bersama oleh Samsu
Yaakob (2009) di dalam bukunya yang berjudul Senarai Semak Sistem Ejaan dan
Tatabahasa Bahasa Melayu. Menurut mereka ini, di dalam bahasa
Melayu, terdapat lima jenis utama penandaan wacana seperti:
i) Penanda Penghubung;
ii) Penanda rujukan;
iii) Penanda penggantian;
iv) Penanda leksikal; dan
v) Penanda elipsis atau pengguguran.
Bagi
meningkatkan mutu penulisan di kalangan pelajar, mereka seharusnya tahu
menggunakan wacana yang sesuai dan pelajar juga perlulah tahu akan fungsi
wacana yang digunakan. Terdapat empat fungsi utama di dalam
penanda wacana iaitu:
a). Penghubung tambahan;
b). Penghubung tentangan atau
sebaliknya;
c). Penghubung musabab atau sebab;
dan
d). Penghubung tempoh masa atau
ketika.
2.1 Menunjukkan
maksud penghubung tambahan.
Menurut Kamus Tatabahasa Dewan
Edisi Ketiga, penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan
maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang telah diperkatakan
sebelumnya. Antara penanda wacana yang terdapat di dalam jenis
ini ialah seperti dan, lalu, malahan, tambahan pula, lebih-lebih
lagi, di samping itu dan lain-lain lagi. Contoh ayat yang boleh
dibina adalah seperti:
a) Tugas
sebagai seorang guru di kawasan pedalaman benar-benar mencabar dan
memberi pengalaman baru kepadanya kerana sebelum ini dia merupakan
seorang anak orang berada yang tinggal di bandar besar. Malahan dia
juga berpeluang beramah-mesra dengan penduduk-penduduk termasuklah petani
dan penternak dalam mengenali mereka dengan lebih rapat lagi.
b) Pendidik
haruslah berusaha membimbing pelajarnya melakukan pelbagai aktiviti
kokurikulum secara teori mahupun praktikal.Di samping itu,
isi pelajaran yang hendak disampaikan mestilah menarik minat pelajar.
2.2 Menunjukkan maksud sebaliknya atau
penghubung tentangan.
Menurut Nik Safiah Karim (2009),
penghubung tentangan ialah penghubung yang menunjukkan pertentangan maklumat
antara suatu yang baru diperkatakan dengan yang sebelumnya dalam wacana yang
sama. Antara penanda wacana yang sering dan boleh digunakan oleh
pelajar dalam menulis karangan ialah seperti tetapi, sebaliknya,
namun, namun begitu, walau bagaimanapun dan lain-lain lagi. Contoh
ayat yang menggunakan wacana ini adalah seperti berikut:
a) Kassim
telah lama berpindah ke Semenanjung. Namun hati
kecilnya masih teringat akan negeri di bawah bayu itu.
b) Ani
dan Razak adalah anak angkat Pak Hamid yang dipelihara sejak kecil lagi. Walau
bagaimanapun, mereka berdua menganggap Pak Hamid seperti bapa
kandung mereka sendiri.
2.3 Menunjukkan maksud sebab atau penghubung musabab.
Pelajar
juga boleh menggunakan wacana yang sesuai bagi menunjukkan sebab berlakunya
sesuatu perkara atau peristiwa. Apabila penanda wacana ini digunakan, jalan
cerita akan menjadi lebih gramatis dan menarik dan menunjukkan kematangan
pelajar dalam memilih kata-kata yang sesuai di dalam penulisan. Antara penanda
wacana menunjukkan sebab ini ialah seperti kerana, oleh
sebab itu, oleh itu, oleh hal demikian, dengan itu, maka itu dan
lain-lain lagi. Pendapat di atas telah disokong oleh Siti Hajar binti Abd Aziz
dalam bukunya Bahasa Melayu II terbitan Oxford Fajar (2009). Contoh ayat yang
dapat ditunjukkan dalam bahagian ini adalah seperti di bawah:
a). Kejadian
pecah rumah sering berlaku di kawasan taman perumahan di pinggir bandar.
Sikap penduduk yang tidak memberikan kerjasama dan tidak mempunyai
semangat kejiranan menjadikan masalah ini sukar dibendung. Oleh hal
demikian, pihak berkuasa telah mengarahkan ahli Rukun Tetangga
menjalankan kerja-kerja rondaan
dengan lebih kerap.
b). Keadaan
hidup keluarganya amat daif. Maka itu dia terpaksa
bekerja lebih keras untuk membawa
keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan.
2.4 Menunjukkan
maksud ketika atau penghubung tempoh.
Mengikut
Raihana Hamdan, Aina Rosli, Amin Nur Aiman dan Salina Hussin (2007), dalam buku
Bahasa Melayu UPSR Teks dan Rujukan Lengkap turut mengatakan bahawa fungsi
wacana adalah merujuk kepada maksud ketika atau penghubung tempoh iaitu
penghubung yang menunjukkan urutan masa atau siri berlakunya sesuatu peristiwa
atau kejadian. Antara penanda wacana yang terdapat di dalam jenis ini ialah
seperti pertama, seterusnya, kemudian, selanjutnya, selepas itu,
maka dan akhirnya. Antara contoh ayat yang dapat
dibina dalam wacana jenis ini ialah seperti:
a) Pertama, ibu
saya sakit. Kedua, kereta saya rosak dan ketiga,
hujan lebat ketika itu. Itulah
antara sebab-sebab saya tidak dapat hadir mesyuarat petang semalam.
b) Sebaik
sahaja rombongan kami tiba di Lapangan Terbang
Antarabangsa Sepang, kami dibawa ke
balai menunggu. Sejurus selepas itu, kami
diberi taklimat ringkas oleh
ketua rombongan. Semua ahli rombongan mendengar penerangan yang disampaikan dengan penuh minat. Selepas
itu, kami diarahkan membawa bagasi ke tempat pemeriksaan.
Selain daripada yang telah
dinyatakan di atas, penanda wacana yang terdapat di dalam bahasa Melayu ialah
seperti penanda permulaan karangan, penanda memulakan isi baharu, penanda
huraian isi karangan, penanda memberi contoh, penanda menutup isi, penanda
menulis dua huraian dalam satu ayat, penanda memulakan perenggan penutup,
penanda menerangkan huraian atau pendapat yang berbeza dan penanda memulakan
atau memasukkan peribahasa.
Setelah
diteliti kesemua fungsi wacana yang telah dinyatakan di atas, jelaslah kepada
kita bahawa fungsi-fungsi wacana ini sebenarkan mempunyai makna yang berbeza
antara satu wacana dengan wacana yang lain mengikut kategori yang telah
ditetapkan.
3.0 PENANDA WACANA DALAM PERENGGAN
Berikut
adalah contoh-contoh perenggan yang dipilih untuk melihat penggunaan wacana di
dalam petikan:
3.1 Petikan
1
Perenggan
ini adalah dipetik daripada buku ‘Cakna Bestari’ terbitan Jabatan
Pelajaran Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk “Mencipta Inovasi Sebagai Pendekatan
Baru – Menyubur Kecerdasan Logik Matematik Berformula Pengalaman Yang Amat
Bermakna”, muka surat 11.
Pembelajaran
dengan modul Program Asas TIP RING KONSEP K3 menulis karangan. Semasa mengaplikasinya,
saya menjelaskan makna FORMUL KONSEP K3 yang mencakupi 3 perkara, iaitu pertama pengamalan, kedua
isi dan ketiga kesimpulan. Setiap karangan
mesti memenuhi disiplin 3 komponen tersebut. Komponen pengenalan mempunyai
3 ciri iaitu pertama isu berdasarkan tajuk, kedua huraian
isu dan ketiga arahan atau respons soalan daripada
tajuk. Dalam Komponen
Isi, pertama murid saya perlu menyatakan isi mengikut
arahan soalan, kedua menghuraikan isi dan ketiga mereka
memberi contoh yang berkaitan isi. Begitu juga pada
Komponen Kesimpulan, pertama mesti menyimpulkan
tajuk berdasarkan pendapat murid, kedua huraian
cadangan terhadap isu dan ketiga jelaskan harapan
kepada isu.
Berdasarkan petikan di atas,
terdapat beberapa penanda wacana yang boleh dikesan dalam ayat-ayat yang
digunakan. Antara penanda wacana yang ditemui ialah seperti ‘semasa’, ‘
pertama’, ‘ kedua’, ‘ ketiga’ , ‘ setiap’, ‘dalam’ dan begitu
juga. Penanda wacana atau perkataan ‘semasa’ yang
terdapat di dalam ayat tersebut membawa maksud atau
menunjukkan sesuatu tempoh atau ketika sesuatu perkara itu
dinyatakan. Manakala perkataan atau penanda wacana ‘pertama’, ‘kedua’ dan
‘ketiga’ pula membawa maksud urutan masa atau turutan peristiwa
atau kronologi sesuatu perkara yang diterangkan oleh penulis. Manakala penanda
wacana ‘begitu juga’ pula membawa maksud persamaan erti
dalam ayat-ayat yang terdahulu.
Di
dalam petikan tersebut, penulis kerap-kali mengulangi penanda wacana ‘pertama’,
‘kedua’ dan ‘ketiga’ kerana terdapat banyak perkara
yang terpaksa disentuh oleh penulis berdasarkan formula konsep yang
diperkenalkan dan perlu diterangkannya supaya pembaca memahami dengan lebih
mendalam. Penanda wacana yang digunakan oleh penulis di dalam petikan tersebut
sememangnya mudah difahami oleh pembaca dan maksud yang hendak disampaikan adalah
jelas. Namun begitu, di dalam ayat, ‘Dalam komponen
isi……’, adalah tidak begitu sesuai digunakan di dalam petikan tersebut.
Penulis sepatutnya menggunakan ‘sementara komponen isi,…..’
bagi menerangkan urutan penerangan yang akan disampaikan bagi menampakkan wacana
yang menarik.
3.2 Petikan
2
Perenggan
ini pula adalah dipetik daripada buku ‘Cakna Bestari’ terbitan
Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk ”Pusat Sumber SMK Convent
Sebelum Inovasi”, muka surat 51.
Kedudukan
PSS SMK Convent tidak strategik kedudukannya kerana terletak
di tingkat empat bangunan belakang. Pun begitu,
PSS tetap berdiri megah tanpa pelanggan.Walaupun agak
ceria dan bersih, tetapi PSS bergerak sendirian dan bersifat
terasing. Selalunya jumlah pengawas PSS lebih ramai
berbanding pengunjung. Faktor koleksi buku yang tidak terkini, pengawas
PSS yang tidak cekap menjalankan tanggungjawab, ketiadaan promosi dan
galakan amalan membaca menyebabkan PSS hanya sekadar bilik pameran tanpa
pelanggan. Malahan, PSS menjadi medan guru-guru memenuhi
waktu ganti (relief). Namun begitu, murid-murid murid-murid
masih menggunakan PSS hanya mengikut waktu perpustakaan sahaja dan
mereka masih tetap tidak menunjukkan minat yang mendalam untuk
membaca. Hal yang demikian ini terbukti apabila
jumlah pinjaman buku sangat minimum.
|
Dalam
petikan kedua ini pula, penulis artikel tersebut telah menggunakan beberapa
penanda wacana yang agak berbeza daripada petikan pertama tadi. Di dalam
petikan tersebut, beberapa penanda wacana yang telah dikesan adalah seperti ‘pun
begitu’, ‘walaupun’, ‘selalunya’ ‘malahan’, ‘namun begitu’ dan ‘hal
yang demikian’.
Penanda
wacana ‘pun begitu’ adalah merujuk kepada maksud
pertentangan di mana menceritakan tentang PSS yang terdapat di situ tetapi
tidak ada pengunjung yang datang atas sebab-sebab tertentu. Penanda
wacana ‘walaupun’ pula memberi maksud tentang pendapat
yang berbeza atau sebaliknya iaitu tentang PSS yang kelihatan ceria
tetapi masih tidak dapat menarik pengunjung datang ke situ. Perkataan ‘kebiasaannya’membawa
maksud atau memberi gambaran tentang keseluruhan serta rumusan pendapat penulis
tentang PSS yang dinyatakan itu. Sementara itu, perkataan‘malahan’ merujuk
kepada maksud penanda keterangan atau huraian kejadian sebaliknya di mana PSS
digunakan oleh guru-guru untuk ‘berehat’ ketika waktu jadual ganti dan bukannya
waktu untuk mengajar. Penanda wacana ‘hal yang demikian’ pula
merujuk kepada rumusan sebab di mana ia menerangkan tentang bilangan
peminjam yang berkurangan walaupun PSS kelihatan ceria.
Penulisan
petikan kedua ini menampakkan satu wacana yang menarik dan pembaca boleh
memahami isi yang hendak disampaikan dengan jelas. Perkataan ‘selalunya’
dilihat adalah kurang tepat digunakan di dalam ayat dan boleh digantikkan
dengan perkataan atau penanda wacana yang lebih sesuai seperti ‘kebiasaannya’
dan memperlihatkan penanda wacana yang lebih menarik untuk digunakan.
3.3 Petikan
3
Sementara
perenggan ketiga pula adalah dipetik daripada buku ‘Cakna
Bestari’ terbitan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah (2011) di bawah tajuk “Nilai
Membentuk Generasi Berilmu”, muka surat 82-83.
Sebenarnya, untuk mendidik dan membimbing seseorang murid mejadi tokoh NILAM
bukanlah sesuatu tugas yang ringan dan mudah. Banyak halangan dan cabaran
terpaksa dihadapi. Contohnya, daripada sepuluh orang murid
yang dipilih dan dibimbing dari tingkatan satu tersebut, mungkin hanya tiga
atau empat orang sahaja yang akan kekal bersekolah hingga ke tingkatan
lima. Ada diantaranya akan bertukar ke sekolah lain
selepas Peperiksaan PMR. Hal ini demikian kerana
murid yang mendapat keputusan cemerlang iaitu 7A dan 8A ditawarkan untuk
melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh atau melanjutkan pelajaran
ke sekolah teknik.Apabila perkara ini berlaku, ada
kalanya, calon pilihan utama sekolah yang telah diberi bimbingan dengan ilmu
NILAM turut bertukar sekolah. Selain itu, cabaran terbesar
adalah untuk memilih tokoh NILAM daripada kalangan lelaki. Sudah
menjadi kelaziman di negara kita, murid perempuan lebih gemar
membaca berbanding murid lelaki. Oleh itu, pihak sekolah
terpaksa berusaha gigih mancari tokoh dalam kalangan murid lelaki untuk
diketengahkan sebagai tokoh NILAM ini. Sehingga ini, kami hanya
berjaya mengetengahkan hanya dua orang calon sahaja.
|
Penanda
wacana atau perkataan yang digunakan di dalam petikan ketiga adalah
seperti ‘sebenarnya’, ‘contohnya’, ‘ada diantaranya’,
‘hal yang demikian’, ‘apabila’, ‘selain itu’,’sudah menjadi kelaziman’, ‘oleh
itu’ dan ‘sehingga itu’.
Penanda
wacana ‘sebenarnya’ membawa maksud mengesahkan atau
pengeahan sesuatu maklumat yang disampaikan. Perkataan ‘contohnya’ pula
adalah bermaksud untuk memberikan contoh seuatu perkara atau benda yang hendak
diterangkan dengan lebih mendalam. Sementara perkataan ‘hal yang
demikian’, ‘sudah menjadi kelaziman’ dan ‘oleh itu’ pula
membawa maksud sebab atau musabab atau akibat sesuatu hal
dan kejadian yang berlaku. Maksud penanda wacana bagi ‘apabila’ dan
‘sehingga itu’ pula merujuk kepada penanda waktu atau tempoh
masa.
Bagi
penanda wacana ‘selain itu’ pula membawa maksud
memulakan sessuatu isi baru dalam penulisan dan menunjukkan perbandingan
sesuatu perkara. Manakala perkataan atau penanda wacana ‘selebihnya’ pula
membawa maksud penghubung tambahan di dalam sesuatu ayat dan boleh juga
menunjukkan sebagai bilangan. Walaupun petikan ketiga ini nampak sempurna,
namun penulis boleh menggantikan penanda wacana ‘ada diantaranya’ kepada
penanda wacana yang lebih menarik iaitu ‘selebihnya’ kerana
ia akan menampakkan masud bilangan dalam wacana yang ingin diterangkan.
Daripada
ketiga-tiga petikan yang telah dianalisa mengenai penanda wacananya, dapatlah
dirumuskan bahawa penanda wacana ini digunakan di dalam setiap petikan dan
mempunyai bermacam maksud mengikut konteks ayat yang dibina. Sesuatu penanda
wacana tidak hanya membawa maksud yang tetap tetapi boleh berubah mengikut
situasi ayat yang dilafazkan.
4.0 CADANGAN MENINGKATKAN KEMAHIRAN
PENGGUNAAN WACANA DI DALAM KALANGAN PELAJAR
Pelajar-pelajar
sekolah rendah terutamanya, perlu didedahkan dengan lebih banyak lagi cara-cara
meningkatkan kemahiran penggunaan wacana terutamanya di dalam aktiviti
penulisan. Penggunaan wacana yang lemah akan menjejaskan hasil kualiti sesebuah
karya. Menurut Kamaruddin Hj Husin (1988) di dalam buku HBML 3203, Tatabahasa
dalam Pengajaran Bahasa Melayu keluaran Open University Malaysia, menjelaskan
bahawa beberapa perkara perlu diberikan perhatian oleh murid dalam usaha
menghasilkan penulisan yang baik, iaitu sebelum, semasa dan selepas menjalankan
aktiviti penulisan.
Pelajar
yang pintar akan membuat persediaan awal sebelum menulis sesebuah karya atau
karangan. Mereka sepatutnya melakukan banyak latihan tatabahasa terlebih dahulu
dan membaca lebih bahan-bahan tambahan seperti akhbar, majalah, buku-buku
ilmiah dan sebagainya bagi mendapatkan idea serta menambah perbendaharaan kata
dan mengetahui penanda wacana yang sesuai dan menarik untuk dimasukkan ke dalam
hasil tulisan mereka nanti. Pelajar juga patut didedahkan dengan
latihan-latihan menyalin semula petikan atau perenggan yang mengandungi penanda
wacana yang baik agar mereka dapat memahami serta tahu fungsi penanda wacana
yang sesuai di dalam hasil penulisan mereka nanti.
Bagi
mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan wacana dalam kalangan pelajar ini,
guru juga sepatutnya meminta murid melengkapkan ayat atau membina ayat-ayat
berdasarkan penanda wacana yang betul. Seterusnya, murid juga perlu diberi
latihan menyusun ayat berdasarkan urutan serta meletakkan penanda wacana dan
kata hubung yang sesuai.
Seterusnya
murid diminta untuk melengkapkan perenggan berdasarkan urutan cerita dengan
memasukkan penanda wacana yang sesuai dan betul di antara ayat atau perenggan
supaya terdapat kohesi dan koherennya.Selain itu, pelajar juga harus tahu serta
mengetahui fungsi-fungsi wacana yang hendak digunakan. Wacana yang menarik akan
menjamin kesinambungan cerita yang menarik atau kelancaran perjalanan cerita
atau idea dari satu perenggan ke satu perenggan.
Bagi
menghasilkan sesebuah karya yang baik dan menarik, pelajar mestilah menjadikan
kamus sebagai ‘kawan rapat’. Sentiasa merujuk kamus untuk mengetahui erti atau
makna perkataan sukar atau perkataan baru yang akan digunakan di dalam
penulisan. Gunakan wacana yang betul dan tepat apabila menulis dan dilarang
sama sekali menggunakan wacana yang dianggap ‘sedap’ bunyinya tetapi tidak
diketahui makna dan salah penggunaannya.
Setelah
pelajar pasti karya yang ditulis telah selesai, pelajar diminta membaca dan
menyemak semula hasil penulisan mereka. Ini merupakan penilaian kendiri
terhadap hasil penulisan tersebut. Penekanan perlu diberikan kepada format, isi
atau huraian, imbuhan yang bersesuaian, struktur ayat, tanda baca serta
perbendaharaan kata yang betul. Penanda wacana yang digunakan perlulah diteliti
dengan betul agar penggunaannya tepat pada tempat yang betul. Jangan sesekali
menggunakan tanda soal di dalam wacana. Baiki segera kelasahan atau membuat
penambaikan jika terdapat kekurangan dalam hasil penulisan tersebut.
Jika
pelajar dapat memenuhi kesemua cadangan yang dikemukan seperti di atas, pelajar
tidak perlu rasa bimbang kerana kemungkinan hasil sesebuah karya yang dibuat
telah menepati apa yang diminta. Cadangan di atas telah dinyatakan oleh
beberapa orang pemeriksa kertas yang berpengalaman. Tetapi, jika
cadangan ini tidak diambil pusing oleh pelajar, besar kemungkinan hasil penulisan
akan menjadi lemah dan menyebabkan pelajar tidak memperolehi markah yang tinggi
seperti yang diharapkan.
5.0 KESIMPULAN
Bahasa
Melayu merupakan suatu bahasa yang indah dan unik kerana ayat-ayat yang
digunakan mempunyai tautan antara satu ayat dengan ayat yang lain (kohesi) dan
mempunyai perkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain (koheren).
Daripada pernyataan inilah yang membuatkan sesebuah karya bahasa Melayu menjadi
hebat. Bagi melahirkan karya Bahasa Melayu, ianya bukanlah sesuatu yang sukar
tetapi sekiranya seseorang penulis itu tahu menggunakan wacana yang baik dan
tepat, sudah pasti hasilnya juga akan hebat. Semasa berbahasa, sama ada tulisan
ataupun lisan mestilah mempunyai kesinambungan antara satu idea dengan satu
idea yang lain atau memperlihatkan wacana yang berkesan agar pendengar atau
pembaca memahami isi atau hujah yang ingin dan akan disampaikan.
Wacana
yang baik mestilah mempunyai beberapa perkara seperti kohesi dan koheren yang
dinyatakan di atas dan termasuklah tahu akan fungsi wacana itu sendiri. Penanda
wacana tidak boleh digunakan pada tempat-tempat sembarangan, kerana kesalahan
penggunaan penanda wacana akan menjejaskan atau merosakkan maksud sesuatu hujah
yang ingin disampaikan. Pendengar atau pembaca akan keliru atau tidak memahami
idea yang ingin disampaikan itu.
Setelah
diteliti dengan mendalam, bolehlah dikatakan bahawa penanda wacana di dalam
bahasa Melayu ini mempunyai banyak kepentingannya dalam menghasilkan sesebuah
karya ataupun penulisan. Seseorang penulis haruslah tahu menggunakan
dan faham akan kepentingan wacana itu sendiri kerana aspek penanda wacana akan
mempengaruhi cara pengolahan serta penyusunan struktur
ayat, pembahagian perenggan, penggunaan kosa kata dan penggunaan bahasa secara
keseluruhan. Pelajar seharusnya didedahkan dengan penggunaan penanda wacana
yang betul sejak awal lagi agar mereka tidak kekok dan dapat menggunakannya
dengan berkesan di masa hadapan. Hal ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua
pihak jika kita ingin melahirkan seorang penulis atau karyawan yang berkaliber
suatu hari nanti kerana semuanya bermula dengan wacana yang berkesan.
__________________________________________________________
ISU KETIGA
Isu ketiga dalam wacana boleh dilihat melalui keratan akhbar Berita Harian yang bertarikh 23 Januari 2008 bersamaan dengan hari rabu dengan tajuk "Wacana Satu Huraian Ringkas (Bahagian 1)". Isu ini telah ditulis oleh Profesor Emiratus Datuk Dr. Nik Safiah Karim pada bahagian pedoman bahasa yang terdapat dalam akhbar tersebut.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai isu tersebut anda boleh pergi ke link berikut:
http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klikdbp4jan8.pdf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan